SENI BINA

Melihat bumbung panjang dengan hujung yang sedikit lentik bersama seni bina rumah yang penuh dengan simbolik adat, hati mula tertanya-tanya bagaimana rumah yang sudah mencapai usia lebih seabad masih lagi kekal terpelihara tanpa sebarang cacat cela.Rumah Klasik Melayu Negeri Sembilan merupakan antara seni bina yang sinonim dan menjadi simbolik kepada negeri yang turut terkenal dengan amalan adat Perpatih. Sering disalah erti dengan reka bentuk rumah Minangkabau, rumah Negeri Sembilan mendukung identiti tersendiri.

Bermula daripada tiang seri yang berperanan sebagai tunjang utama sebuah rumah sama ada dipecah empat atau lapan, seni bina unik tersebut membentuk sebuah kediaman yang berperanan bukan sahaja sebagai tempat berteduh malah menjadi tempat untuk aktiviti kemasyarakatan dan keraian.

Serambi
Langkah pertama memasuki rumah Negeri Sembilan bermula dengan serambi atau kini dikenali sebagai ruang tamu. Berbeza seperti rumah kayu biasa, serambi rumah Negeri Sembilan mempunyai bentuk yang memanjang dan terdapat bahagian hujung dan pangkal yang ditentukan mengikut laluan arus sungai.Bahagian hujung selalunya di kedudukan hilir sungai, manakala pangkal di sebelah hulu.
Kedua-duanya mempunyai fungsi tersendiri seperti kawasan tempat duduk pembesar semasa keraian, ruang mengaji al-Quran, akad nikah, berkhatan, mengkafankan jenazah dan tempat tidur bagi tuan rumah yang pasangannya telah meninggal dunia.Pembinaan lantainya adalah sekata di sepanjang serambi, selaras dengan adat Perpatih yang menggariskan nilai egalitarianisme bahawa setiap manusia adalah sama rata walaupun berbeza pangkat dan darjat di alam duniawi.
Melepasi kawasan serambi, rumah ibu menjadi bahagian kedua dalam seni bina rumah Negeri Sembilan. Bahagian yang tinggikan dengan selapis papan dari serambi itu merupakan kawasan yang menempatkan kamar tidur bagi tuan rumah dan ahli keluarga. Selain itu, rumah ibu menempatkan laluan ke ruang loteng yang menjadi tempat simpanan barang-barang berharga.Suatu masa dahulu ruang loteng juga menjadi tempat persembunyian anak gadis daripada menjadi mangsa kekejaman tentera Jepun. Rumah ibu merupakan rangka utama yang menjadi penghubung kepada setiap bahagian lain dalam seni bina rumah Negeri Sembilan.

Seterusnya, bahagian rumah disambung pula dengan ruang yang dipanggil kolek anak. Bahagian kolek anak merupakan ruang khas untuk menempatkan ibu yang baru bersalin.Rekaannya juga memudahkan golongan ibu bersalin seperti tali sebagai tempat bergantung yang diikat dari bumbung. Di sudut bahagian kolek anak pula, menempatkan dapur kecil yang menjadi tempat untuk memanaskan batu tungku.Kedudukan lantai dijarakkan selebar satu hingga dua jari, bahagian kolek anak turut dijadikan ruang untuk memandikan jenazah sekiranya berlaku kematian dalam kalangan ahli keluarga.Rumah Negeri Sembilan juga mempunyai ruang pelantar yang merupakan tempat simpanan barang-barang keperluan dapur dan makanan binatang ternakan seperti sagu untuk ayam. Ruang akhir semestinya dapur yang merupakan bahagian wajib untuk setiap kediaman.

Bumbung
Selain susun atur bahagian rumah, identiti utama yang mencerminkan jiwa Negeri Sembilan adalah seni bina bumbung rumah yang panjang serta melentik di hujungnya.Menurut pakar adat Negeri Sembilan dengan gelaran Datuk Seri Maharaja Tuan Haji Khalid Bongek, 75, reka bentuk bumbung rumah Negeri Sembilan merupakan ciri utama yang menzahirkan perbezaan antara rumah tersebut dengan rumah Minangkabau.Walaupun salasilah keturunan suku kaum Minang berasal dari kepulauan Minangkabau, amalan adat serta rekaan rumah Negeri Sembilan tidaklah sepenuhnya mengguna pakai identiti negeri tersebut.Masyarakat sering salah faham tentang perkara yang berkisar tentang Negeri Sembilan khususnya dari segi adat dan rumah.

Tambahnya, seperti yang diketahui ramai tentang fakta Istana Diraja Seri Menanti dibina tanpa menggunakan sebatang paku, kebanyakan rumah tradisional Negeri Sembilan turut mengguna pakai teknik binaan sama iaitu teknik pasak dan tanggam.Kedua-dua teknik tersebut merupakan kaedah untuk mencantumkan rumah yang digunakan oleh tukang rumah pada zaman dahulu sebelum penggunaan paku.

Dinding
Rekaan dinding rumah Negeri Sembilan pula mempunyai variasi mengikut kemampuan masyarakat yang ingin membina kediaman mereka.Antara jenis dinding sering ditemui pada rumah tradisional di Negeri Sembilan ialah dinding sisik tenggiling, papan tengah berlidah, papan serong berlidah, apit-apit, pelupuh, anyam beremban dan kulit kepong.

No comments:

Post a Comment

HOME

Assalamualaikum & Salam Sejahtera Sayang kumbang mencari makan, Terbang seiring ditepi kali: Selamat datang kami ucapkan, Mog...